Rabu, 15 Februari 2012

Ujian air kencing Saiful Apek, rakan positif: Polis

PETALING JAYA: Seorang anggota polis hari ini memberitahu Mahkamah Majistret di sini bahawa ujian saringan awal air kencing pelakon komedi, Mohd Saifulazam Mohamed Yusoff, atau lebih dikenali sebagai Saiful Apek dan tiga rakannya yang lain didapati positif dadah. 

Sarjan M Sanggar, 48, berkata beliau menjalankan ujian air kencing terhadap Saiful Apek, 42, dan tiga rakannya iaitu Shah Zainatull Ehsan Al-Muazam Shah Yahya, 28, Shaiful Baharom, 24, Noremy Mohamad, 28, selepas selesai melakukan satu operasi serbuan di sebuah rumah di Bandar Sunway dekat sini.


"Hasil keputusan ujian air kencing itu didapati kesemua tertuduh positif dadah," kata saksi kedua pendakwaan ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Ishrakh Saad ketika pemeriksaan utama.
Sanggar yang bertugas di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, berkata beliau kemudiannya menyerahkan sampel air kencing kesemua tertuduh kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Rozlia Razali untuk tindakan seterusnya. 

Pada 1 November tahun lalu, Saiful Apek dan tiga rakannya termasuk seorang wanita mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan memasukkan dadah jenis kanabis ke dalam badan mereka. 

Kesemua mereka didakwa melakukan perbuatan tersebut di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, di IPD Subang Jaya, Jalan LP 2A/1, Taman Putra Permai, Seri Kembangan di sini pada jam 11 malam, 12 Jun 2010. 

Keempat-empat tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM5,000. 
Terdahulu, Pegawai Risikan, Cif Insp Mohd Shaifuddin Zulkifli, 31, yang bertindak sebagai ketua dalam operasi serbuan pada jam 10 malam bertarikh 12 Jun 2010 itu turut memaklumkan bahawa hasil serbuan di dalam rumah itu pasukannya menemui ganja. 

Mohd Shaifuddin berkata, beliau mengarahkan Sanggar dan Rozlia untuk menjalankan ujian air kencing terhadap kesemua tertuduh. 

"Saya menerima sampel ujian air kencing mereka daripada Rozlia pada jam lebih kurang 11.15 malam dan pada jam 12.05 minit pagi hari berikutnya (13 Jun 2010) saya menyerahkan botol spesimen air kencing mereka kepada pegawai penyiasat kes narkotik iaitu Insp Syed Mohd Rohayat Syed Ramlee," katanya. 

Keempat-empat tertuduh diwakili peguam Zambri Idrus dan Mohd Fadli Hashim. 
Perbicaraan di hadapan Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid bersambung 27 Mac depan. - BERNAMA 

ALIRAN SASTERA is THE BEST!

MOHAMED KHAlED (duduk, kanan) melawat Makmal Pendidikan Jarak Jauh ketika melawat UPSI, Tanjung Malim baru-baru ini.






Peratus pelajar ikuti jurusan sains kian menurun

PELUANG pekerjaan yang terbuka luas, gaji lumayan dan mudah lulus dikenal pasti antara punca ramai pelajar sekolah memilih aliran sastera sehingga peratus pelajar mengambil jurusan sains menurun 29 peratus tahun ini.


Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Zakaria Kasa berkata, ramai pelajar yang beranggapan aliran sains sukar untuk lulus dan selepas menamatkan pengajian belum tentu mereka diterima bekerja kerana kekosongan jawatan yang terhad.
Di UPSI, kami terpaksa melatih semula graduan bidang sains dan matematik untuk mengajar subjek lain disebabkan semakin ramai pelajar memilih aliran sastera sehingga menutup peluang mereka menjadi guru dua subjek itu. - Prof Zakaria Kasa, Naib Canselor Universiti Pendidikan
“Di UPSI, kami terpaksa melatih semula graduan bidang Sains dan Matematik untuk mengajar subjek lain disebabkan semakin ramai pelajar memilih aliran sastera sehingga menutup peluang mereka menjadi guru dua subjek itu,” katanya kepada media bersempena dengan kunjungan rasmi Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ke UPSI di Tanjung Malim, Perak, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof Datuk Rujhan Mustafa dan Pengerusi Lembaga Pengarah UPSI, Tan Sri Abi Musa Assari Mohamed Nor.

Mohamed Khaled sebelum itu dalam amanat tahun barunya dilaporkan berkata, sejak 2007, peratus pelajar mengambil jurusan sains menurun sehingga 29 peratus tahun ini dan keadaan itu berterusan ke peringkat universiti.

Beliau berkata, jika keadaan itu berlanjutan boleh membantutkan usaha meningkatkan program inovasi dan teknologi ke arah transformasi ekonomi negara maju serta berpendapatan tinggi. 
Dalam perkembangan lain, Prof Zakaria berkata, sebuah sekolah makmal yang menempatkan prasekolah sehingga Tingkatan Enam Atas akan dibina di tapak seluas 18.4 hektar di Kampus UPSI di Bandar Proton, Tanjung Malim.

Katanya, pembinaan bangunan berkenaan menerusi peruntukan awal RM15 juta masing-masing RM10 daripada dana UPSI dan RM5 juta daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Beliau berkata, sekolah itu memudahkan latihan amali dan eksperimen pelajar UPSI, manakala semua tenaga pengajar, kurikulum dan pengetua sekolah itu dilantik pihak universiti. 

“Selain itu, UPSI bakal menubuhkan Makmal Penyelidikan Pendidikan untuk kemudahan pensyarah menjalankan penyelidikan bagi meningkatkan kualiti pendidikan negara,” katanya.

Mengenai tindakan sekumpulan pelajar mengadakan demonstrasi haram di pekarangan UPSI, baru-baru ini, katanya hanya dua pelajar universiti itu terbabit dan mereka sudah dikenakan tindakan tatatertib.

TANGAN tersepit mesin!

ANGGOTA bomba dan penyelamat mengeluarkan tangan Jelani yang tersepit pada mesin pencetak di kilang kotak dekat Parit Empat, Api-Api Pontian, semalam.





Pekerja kilang tergelincir ketika masukkan kotak untuk diproses 


PONTIAN: Pergelangan tangan kanan seorang pekerja kilang parah selepas termasuk ke dalam mesin pencetak kotak ketika mangsa sedang bekerja dekat Api-Api di sini, tengah hari kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari di kilang kotak dekat Parit Empat, Api-Api itu, bapa kepada tiga anak, Jelani Abdul Ghani, 53, sedang memasukkan kotak ke dalam mesin berkenaan, sebelum tangan kanannya tiba-tiba terperosok ke dalam mesin terbabit menyebabkan ia tersepit.
Kejadian menimpa mangsa yang meraung kesakitan sejurus tangannya tersepit disedari rakan sekerjanya yang kemudian bergegas membantu mematikan suis. 

Dalam keadaan cemas itu, mereka cuba mengeluarkan tangan kanan mangsa yang tersepit daripada mesin terbabit tetapi tidak berhasil, sebelum menghubungi bantuan pasukan Bomba dan Penyelamat Pontian. 

Sepasukan anggota dari Balai Bomba Pontian yang diketuai Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I A Hamid Awaludin, bersama enam anggota bergegas ke tempat kejadian. 

Hamid berkata, ketika pasukannya sampai di kilang terbabit, mangsa hanya mampu mengerang kesakitan dengan tangan kanannya hingga ke bahagian pergelangan tersepit dalam dalam mesin pencetak kotak. 
Katanya, bagi menyelamatkan mangsa yang mengalami pendarahan itu, pihaknya terpaksa memotong sebahagian komponen mesin terbabit sambil dibantu pasukan perubatan yang memberi suntikan penahan kesakitan bagi meredakan keadaan mangsa. 

“Operasi mengeluarkan tangan mangsa mengambil masa kira-kira 10 minit sebelum mangsa dikejarkan untuk rawatan kecemasan dengan ambulans yang sedang menunggu ke Hospital Pontian, " katanya. 

Mangsa kemudian dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk menjalani pembedahan lanjut. 

Sementara itu, Jelani yang ditemui di Wad HSA, berkata kejadian itu berlaku kerana dia tergelincir ketika bekerja, menyebabkan tangannya terperosok ke dalam mesin. 

“Tangan saya tersepit pada mesin selama kira-kira 30 minit sebelum berjaya dikeluarkan dan terus dihantar ke Hospital Pontian sebelum dibawa ke HSA,” katanya yang menjalani imbasan x petang semalam bagi menentukan kaedah rawatan lanjut yang perlu dijalaninya.

Jumaat, 10 Februari 2012

Lintah tidak sebar penyakit...

KUALA LUMPUR: Belum ada lagi kajian dilakukan menunjukkan lintah boleh menyebarkan penyakit kepada manusia melalui rawatan bekam termasuk penyakit batuk kering (tibi).

Doktor dan Koordinator Makmal, Unit Kesihatan Haiwan Akuatik, Fakulti Perubatan Vaterinar, Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Hassan Mohd Daud berkata, kajian klinikal di luar negara termasuk Amerika Syarikat (AS) lintah boleh merawat penyakit seperti migrain serta resdung selain tidak memberi kesan sampingan melalui gigitannya.


“Kajian klinikal mengenai lintah belum dijalankan di negara ini, namun ia giat dilakukan di luar negara dan tiada kajian menunjukkan lintah mendatangkan mudarat kepada manusia, ” katanya, semalam.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai kemungkinan lintah boleh menyebarkan penyakit melalui rawatan bekam lintah berikutan kenyataan pakar dermatologi Hospital An-Nur, Dr Saadiah Sulaiman yang didatangi dua pesakit dijangkiti batuk kering ganjil selepas mendapatkan rawatan bekam lintah.

Katanya, tidak mungkin lintah mampu menyebarkan penyakit tibi kerana ia hanya boleh berjangkit melalui udara dan kemungkinan lintah menyebarkan bakteria yang ada padanya amat rendah.

Bagaimanapun, katanya, pengusaha bekam lintah perlu memastikan lintah dikuarantin dan dibersihkan mengikut prosedur yang betul terlebih dulu sebelum digunakan terhadap pesakit.

Katanya, hasil analisis dijalankan terhadap lintah dikuarantin sehingga tiga minggu dengan kawalan suhu dan pH air yang betul menunjukkan hanya bakteria biasa ditemui pada usus dan mulut lintah turut ditemui di tanah dan air. 
“Dengan penggunaan bahan tertentu seperti kunyit dan halia, semua bakteria berbahaya terbunuh kerana dua bahan berkenaan mempunyai bahan antiseptik yang mampu membunuh dan merencatkan pertumbuhan bakteria,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai yang mahu mendapatkan rawatan bekam lintah supaya memeriksa terlebih dulu prosedur kebersihan yang diambil pengusaha rawatan berkenaan.

“Pesakit perlu bijak memilih pusat rawatan termasuk mengenal pasti terlebih dulu tahap kebersihan dan kesihatan lintah yang digunakan, ” katanya.

Kanak-kanak Maut langgar besi....

2012/02/10

KUANTAN: Seorang kanak-kanak berusia dua tahun yang duduk di dalam bakul depan motosikal bapanya, maut selepas motosikal itu terlanggar peralatan besi khemah dibawa sebuah lori. 

Dalam kemalangan jam 6.20 petang semalam, Muhammad Zawawi Kamarulhisam cedera parah di kepala.
Pegawai Penguatkuasa Tadbir Trafik Pahang, Asisten Superintendan Zainalabidin Othman, berkata bapa kepada kanak-kanak terbabit, Kamarulhisam A Rahman, 34, seorang pekerja ladang dari Felda Lakum di sini, mengalami luka kecil di tangan dan badan.
“Motosikal yang dinaiki Kamarulhisam terlanggar besi khemah dalam sebuah lori yang berhenti di hadapan pagar Dewan Orang Ramai Kampung Bolok Hilir, dekat Lanchang,” katanya. - BERNAMA

GP Joran Sedia wang tunai RM46,500



KARNIVAL GP Joran 2012 bakal memulakan cabarannya dengan tawaran wang tunai keseluruhan RM46,500 di Pantai Puteri, Melaka pada 3 dan 4 Mac depan.


Acara yang dianggap pemanas badan serta memberi peluang kepada peserta mengutip 20 mata bonus tambahan ini kembali memberi peluang kepada pemancing bersaing menjadi juara dan sekali gus merebut wang tunai dan hadiah iringan yang ditawarkan penganjur.
Juara Pra GP Joran 2012 bakal membawa pulang Wang tunai RM20,000, tempat kedua RM10,000 dan ketiga RM5,000 serta hadiah berupa peralatan memancing dan hamper dari penaja. 

Pengurus Projek Khas, Mohamad Mizal Hasbullah berkata, pemilihan tarikh pertandingan edisi ke 12 Pra GP Joran dianggap paling sesuai untuk pemancing menyusun jadual kerja mereka sebelum cuti penggal persekolahan. 

“Tarikh ini dipilih berdasarkan permintaan pemancing yang mahu menyegerakan menyertai pertandingan ini sebelum mereka bercuti bersama keluarga pada minggu selepasnya. 

“Pemilihan tarikh berkenaan juga ditetapkan selepas mendapat persetujuan Kerajaan Negeri yang menggalakkan pelancong mengunjungi negeri itu yang jatuh hari cuti umum pada minggu pertama,” katanya. 
Sementara itu, tempat ke-4 (RM1,000); ke-5 hingga ke 10 (RM500); ke 11 hingga ke-20 (RM200); ke-21 hingga ke-30 (RM200) dan ke-31 hingga ke-40 hadiah hamper. 

Yuran penyertaan RM100 untuk satu joran dan borang penyertaan boleh didapati dalam sisipan Joran setiap Jumaat, Berita Harian dan Harian Metro seperti tertera pada iklan di sebelah. 

Hanya penggunaan borang asal daripada akhbar berkenaan melayakkan peserta dan pengunjung memenangi hadiah cabutan bertuah. 

Sebanyak 1,500 baju t shirt lengan panjang diberikan kepada peserta terawal yang mendaftar dan peserta yang mendaftar menggunakan borang asal turut layak memenangi sebuah motosikal bernilai RM4,200 dan hadiah iringan lain. 

Pertanyaan mengenai pertandingan memancing Pra-GP Joran, hubungi Unit Joran 03-22822323 sambungan 4240/4241/4242.

Pengikut Yg SeTia