Jumaat, 30 Mac 2012

Salah Besar!


Presiden FAM mahu Annuar jawab kes kritikan 4 April ini

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah memberi bayangan betapa Tan Sri Annuar Musa sudah 'terjebak dalam bahaya' apabila menyifatkan tindakan mengkritik prestasi skuad negara itu satu kesalahan yang amat besar.

Beliau menekankan tindakan Timbalan Presiden badan induk itu sudah melanggar Statut FAM dan perlu berdepan Jawatankuasa Tatatertib FAM, Rabu ini.

Annuar pula membalas dia bersedia menerima sebarang hukuman dengan tangan terbuka.



Malaysia ambil amah Myanmar

NAJIB dan Rosmah tertarik melihat potret cenderahati wajah mereka pada majlis perjumpaan serta jamuan bersama ahli perniagaan Malaysia dan Myanmar di Pusat Konvensyen Antarabangsa Myanmar, semalam.



Kementerian Sumber Manusia urus rundingan manfaat Program 6P

MALAYSIA sedia memberi peluang kepada rakyat Myanmar yang mendaftar di bawah Program Penyelesaian Menyeluruh Pendatang Asing Tanpa Izin (Program 6P) untuk menjadi pembantu rumah, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, dalam pertemuannya dengan Presiden Thein Sein, kelmarin, beliau memaklumkan lebih 250,000 rakyat Myanmar didaftarkan menerusi sistem biometrik sepanjang proses 6P.


Najib yang dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Myanmar berakhir semalam berkata, ada kemungkinan mereka akan diberi peluang menjadi pembantu rumah kerana rakyat Myanmar sopan dan budayanya sesuai dengan budaya Malaysia.


“Tetapi perkara ini masih dirundingkan dan akan diuruskan Kementerian Sumber Manusia,” katanya pada sidang media selepas majlis perjumpaan serta jamuan bersama ahli perniagaan Malaysia dan Myanmar di Pusat Konvensyen Antarabangsa Myanmar di sini.

Pada majlis itu, Najib turut menyaksikan empat memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani membabitkan Petronas Carigali Myanmar Inc dan Unog Ptd Ltd, Lembaga Industri Kayu Malaysia dan Myanmar Timber Merchants Association, Esa Jurutera Perunding & Esa International Sdn Bhd dan Win Thin & Associates serta Target Resources Corporation Sdn Bhd dan YaminThida Co Ltd.

Terdahulu, Najib yang diiringi Datin Seri Rosmah Mansor mengadakan pertemuan dengan masyarakat Malaysia di Myanmar. Hadir sama, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam. 
Sementara itu, Subramaniam ketika ditemui menjelaskan perbincangan berhubung pengambilan pembantu rumah Myanmar membabitkan beberapa perkara, termasuk jaminan keselamatan pekerja terbabit.

Difahamkan, Myanmar mengamalkan dasar yang ketat berhubung penghantaran pekerja wanita ke luar negara dan setakat ini sudah ada rakyatnya menjadi pembantu rumah di Malaysia tetapi bilangannya kecil.

Baru-baru ini, Subramaniam dilaporkan berkata, kedua-dua negara dijangka menandatangani MoU bagi membawa masuk pekerja Myanmar ke Malaysia, termasuk pembantu rumah. MoU itu adalah atas permintaan Myanmar.

Ahad, 4 Mac 2012

Pelukan erat ibu selamatkan bayi

  EDISYAH bersama isterinya Salmiah melihat          
 kereta mereka selepas terhumban ke dalam Sungai Padang, dekat Simpang Empat, Kangar, semalam.
                    



Kereta dinaiki tiga sekeluarga terbabas ke dalam sungai selepas dirempuh motosikal 
KANGAR: Tindakan seorang ibu memeluk erat bayinya yang berusia empat bulan apabila kereta dinaiki mereka terjunam ke dalam Sungai Padang, Simpang Empat, dekat sini berjaya menyelamatkan nyawa anak kecil itu, semalam.
Salmiah Salim, 27, memeluk erat bayinya, selepas kereta dipandu suaminya, Edisyah Hashim, 27, hilang kawalan sebelum terbabas dan menjunam ke dalam sungai yang terletak 100 meter dari rumah keluarganya, di sini.
“Saya tergamam ketika itu dan cuma memeluk anak saya dengan erat kerana bimbang terlepas,” kata Salmiah yang kelihatan masih trauma dengan kejadian itu. 

Salmiah yang juga staf Jabatan Audit bersama bayinya, Muhammad Firas dan suaminya terselamat dan tidak mengalami kecederaan. 

Kejadian berlaku jam 1.30 tengah hari semalam selepas kereta dipandu Edisyah dari arah Simpang Empat menghala Sungai Padang terbabas sejurus terbabit kemalangan dengan sebuah motosikal yang dipandu seorang remaja lelaki.

Ketika itu, kereta PERODUA Kancil dipandu Edisyah dikatakan cuba membelok ke kanan untuk memasuki simpang menghala rumah mentuanya, sebelum motosikal terbabit yang dipercayai mengekori rapat terus merempuh bahagian pintu sebelah kanan kenderaan. 
Kedua-dua kenderaan kemudian hilang kawalan sebelum masing-masing terbabas ke bahagian kanan laluan dan terus terjunam ke dalam sungai di situ. 

Edisyah ketika ditemui berkata, dia bersyukur kerana mereka sekeluarga selamat dalam kejadian itu. 

Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Superintendan Rusli Yahaya, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung kes terbabit. 


Boleh minum kopi luwak

Bijian mesti dalam keadaan baik, suci daripada najis 

PUTRAJAYA: Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Ke-98 yang bersidang pada 13 hingga 15 Februari lalu, memutuskan hukum minum `kopi tahi musang’ atau kopi luwak adalah harus.
Bagaimanapun, Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan menerusi laman web Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), berkata biji kopi berkenaan mesti masih dalam keadaan baik, tidak berlubang, tidak pecah dan dapat tumbuh jika ditanam, serta perlu disucikan terlebih dulu daripada najis.
Pada masa sama, kopi luwak yang dihasilkan juga perlu mendapatkan sijil pengesahan halal daripada JAKIM atau Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) sebelum dipasarkan kepada masyarakat Islam. 

“Selepas meneliti keterangan, hujah dan pandangan yang dikemukakan, muzakarah menegaskan bahawa Allah memerintahkan umat-Nya supaya memilih rezeki yang halal dan memakan makan yang baik. 

“Muzakarah juga berpandangan bahawa kaedah fiqhiyyah (fiqah) menetapkan, hukum asal mengenai sesuatu adalah harus selagi tidak ada dalil muktabar (dalil kuat) yang mengharamkannya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam. 

Katanya, ulama fiqh muktabar menjelaskan bahawa mana-mana bijian yang dimuntahkan oleh haiwan atau yang keluar bersama najis haiwan itu, selagi mana ia tidak rosak dan masih kekal dalam rupa bentuknya yang asal atau jika ditanam ia mampu tumbuh, maka ia dihukumkan sebagai mutanajjis dan bukan najis. 
Kenyataan itu, selaras dengan penegasan dan pandangan itu, muzakarah bersetuju memutuskan biji kopi luwak adalah bersifat mutanajjis dan harus dijadikan bahan minuman. 

Bagaimanapun, ia mesti memenuhi dua syarat yang dinyatakan. 

Sebelum ini, media melaporkan orang ramai dinasihatkan menghentikan sementara aktiviti meminum kopi luwak sehingga Majlis Fatwa Kebangsaan membuat keputusan sama ada produk berasal dari Indonesia itu halal diminum atau sebaliknya.

Teringin nikah kali ketujuh.....

MD ISA (kiri) melayan Puan Ahmad (duduk) pada program Jalinan Mesra Bersama Warga Tua di rumahnya di Sanglang, semalam.

Nenek 116 tahun mahu cari lelaki dekat jadi peneman hidup 

ARAU: Warga tua berusia 116 tahun, Puan Ahmad yang turut dianggap sebagai wanita paling tua di Perlis, semalam menyuarakan isi hatinya untuk berkahwin lagi, walaupun pernah enam kali mendirikan rumah tangga.
Puan yang sebelum ini mendapat perhatian ramai kerana dikatakan berusia 16 tahun berikutan kekeliruan pada MyKadnya, mengakui sedang mencari calon untuk dijadikan teman hidup.
“Betullah tu, tok memang nak kahwin, cuma takut orang saja yang tak nak kahwin dengan tok. Depa (mereka) kata semua lelaki kahwin dengan tok mesti pi (meninggal) sebab pendek umur. Padahal, semua yang kahwin dengan tok dah memang tunggu masa nak pi. 

“La (sekarang) tok tengah dok cari calon. Kalau boleh nak cari orang dekat sini saja. Bukan apa, saja nak buat peneman sebab bosan dok sorang tua-tua ni,” katanya ketika ditemui sempena program Jalinan Mesra Bersama Warga Tua yang diadakan di kediamannya di Padang Keria, dekat Sanglang, di sini. 

Program itu dianjurkan Pusat Kebajikan Semenanjung Malaysia (PKSM) bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri khusus untuk meraikan 42 warga tua dari sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang. Hadir sama, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu; Pengerusi PKSM, Datuk Mastika Junaidah Hussin dan Pengarah JKM negeri, Abdullah Ali. 

Hasil perkongsian hidup melalui dua suami pertamanya, Puan dikurniakan empat anak berusia antara 58 dan 73 tahun, selain 19 cucu dengan yang paling bongsu berusia 21 tahun, serta 47 cicit dengan usia paling tua 25 tahun. 
Ditanya mengenai petua yang diamalkannya Puan berkata, menjadi kebiasaan orang lama sepertinya yang suka makan pucuk kayu segar dari hutan. 

“Berbeza sekali dengan orang sekarang biasanya makan tak tentu hala ikut suka perut saja. 

“Tok tak ada pantang apa-apa, cuma makan tu biar berpada. Ada orang kata bila tua banyak benda tidak boleh makan, tetapi tok makan apa saja termasuk daging, janji jangan banyak sangat. 

“Alhamdulillah, sampai sekarang Tok tidak pernah lagi diserang sakit serius, apatah lagi nak merasa duduk di katil hospital. Bukan nak bangga, cuma tok bersyukur dan harap Allah akan terus bagi tok kesihatan,” katanya. 

Sementara itu, dua anak lelaki Puan, Teh Man, 65 dan Mat Yusop Man, 63, ketika ditanya mengenai hasrat ibu mereka untuk mendirikan rumah tangga lagi, masing-masing dilihat tersenyum. 

“Kami tak pernah halang dia kahwin lagi. Dulu, dia kahwin banyak kali pun kami tidak pernah bising. Itu hak dia, sebab kami pun sedar dia bosan dan sunyi,” kata Mat Yusop.

Kes kematian akibat demam denggi meningkat

KAJANG: Kes kematian akibat demam denggi kini semakin membimbangkan apabila 15 kes kematian dilaporkan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini berbanding lapan kematian dalam tempoh sama 2011, iaitu peningkatan sebanyak 88 peratus. 

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman, berkata daripada jumlah itu, Selangor mencatatkan kematian paling tinggi dengan lapan kes, diikuti Wilayah Persekutuan (3) dan masing-masing satu kes di Kedah, Perak serta Negeri Sembilan.
Katanya, 15 kes kematian itu dicatatkan daripada keseluruhan 4,453 jumlah kes denggi yang dilaporkan sepanjang Januari hingga 1 Mac lalu, meningkat 14 peratus berbanding 3,915 dalam tempoh masa sama tahun lalu.
“Daripada jumlah itu, Selangor mencatatkan kes paling tinggi dengan 2,012, diikuti Wilayah Persekutuan sebanyak 450 dan Perak (328),” katanya kepada media selepas merasmikan majlis pelantikan Pasukan Skuad Denggi Penyelamat Nyawa Sekolah Menengah Vokasional Kajang, sesi 2012/2013, di sini semalam. 

Dr Hasan berkata, bagi mengurangkan kes denggi, masyarakat digesa melakukan aktiviti bergotong-royong mencari dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk Aedes di persekitaran mereka, dengan meluangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit setiap minggu melalui kempen yang dijalankan. 

Pada masa sama, katanya, program pencegahan di sekolah adalah penting bagi mengurangkan kes demam denggi berikutan melalui pemantauan yang dibuat ke atas 12,224 institusi itu sepanjang tahun lalu, sebanyak 1,061 kes atau sembilan peratus yang diperiksa mempunyai pembiakan Aedes. 

Malah, beliau berkata, berdasarkan analisis kementerian, sebanyak 21 peratus atau 935 kes daripada kes demam denggi dilaporkan tahun ini membabitkan pelajar dengan tiga daripadanya maut. 
“Justeru, kementerian menggalakkan pembabitan sekolah dalam aktiviti pencegahan denggi melalui Program Bebas Denggi, yang mana sehingga tahun lalu sebanyak 3,863 sekolah sudah mengikutinya. 

“Kes demam denggi dan kematian tahun ini adalah tidak baik, lebih-lebih lagi sekarang adalah musim hujan. Kita juga meminta sesiapa yang demam panas secara mengejut dan mempunyai tanda demam denggi supaya segera pergi ke klinik bagi mendapatkan rawatan,” katanya.

Sabtu, 3 Mac 2012

Atlas Hidup Untuk Hanya Dua Minggu…



Mungkin ramai yang tidak tahu tentang kekayaan Malaysia yang begitu bertuah menjadi pilihan habitat semula jadi flora dan fauna yang menakjubkan untuk menghuni hutan-hutan hujan tropika yang menghijau menutupi lanskap peta negara.
Antara yang fauna yang dikenal pasti mendiami hutan hujan tropika di negara ini ialah rama-rama terbesar di dunia, Atlas atau nama saintifiknya, Attacus Atlas.
Beranggapan corak pada sayapnya yang seolah-olah kelihatan seperti peta dunia, rama-rama itu dinamakan sebagai Atlas.
Atlas dinobatkan sebagai rama-rama terbesar di dunia berukuran sekitar 25 sentimeter dan mempunyai sayap yang besar serta memiliki corak berwarna-warni yang menarik perhatian ramai.
Bagaimanapun, rama-rama jenis ini dikatakan kurang stabil untuk terbang memandangkan saiznya sayapnya yang lebar dan nipis.
Malangnya, jangka hayat Atlas tidak panjang apabila dilaporkan hanya mampu untuk hidup untuk selama dua minggu saja selepas bertukar dari seekor ulat kepada rama-rama dewasa.
Menurut pakar yang mengkaji rama-rama tersebut, kehidupan rama-rama itu lebih terarah semata-mata untuk pembiakan spesisnya dan hidup liar di hutan hujan tropika atau sub-tropika di kawasan Asia Tenggara, termasuk di archipelago kepulauan Melayu nusantara.
Selain itu, dikatakan juga bahawa Atlas menggunakan sayapnya yang besar itu untuk menakut-nakutkan haiwan pemangsa dan melindungi diri dari sebarang ancaman di kawasan sekitarnya.
Atlas digelar sebagai rama-rama ‘kepala ular’ di China ekoran penghujung sayapnya yang kelihatan sangat mirip kepada kepala ular. 

Pengikut Yg SeTia