Selasa, 10 Januari 2012

Derita bayi usus, hati diluar




BOTA - Bayi yang baru sahaja berusia dua bulan kini terpaksa menanggung derita kerana dilahirkan dalam keadaan usus dan hati di luar badan (Omphalocele) menyebabkan pergerakannya terbatas.

Adik Iman Syafiq Azman yang menderita penyakit itu sejak dilahirkan hanya mampu tidur secara terlentang kerana tali pusat dan ususnya berada di atas abdomennya.

Anak kelima pasangan Azman Abdullah, 32, dan Norhayama Ramli, 29, itu memerlukan penjagaan rapi bagi menghalang sebarang jangkitan kuman.

Norhayama berkata, walaupun keadaan anak mereka seperti itu, namun sehingga kini Iman Syafiq berada dalam keadaan sihat seperti bayi normal lain.

“Pada usia kandungan 19 minggu, saya dimaklumkan bahawa bayi saya mengalami kecacatan dan selepas itu, kes ini dirujuk kepada Hospital Manjung dan Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Ahli Parlimen Parit, Drs Mohd Nizar Zakaria dan Adun Belanja, Datuk Mohd Zaim Abu Hassan bersama skuad sayang wanita Umno bahagian Parit di Kampung Lambor Kanan, semalam.

Katanya, beliau redha dengan ketentuan itu walaupun anaknya sebelum itu dilahirkan normal dan tidak ada sebarang masalah.

“Kami menerima takdir ini dengan hati terbuka dan tetap memberikan kasih sayang kepada Iman Syafiq seperti anak-anak lain juga cuma penjagaannya perlu lebih teliti bimbang bahagian usus di luar dijangkiti kuman,” katanya.

Sementara itu, ibarat sudah jatuh ditimpa tangga suaminya, Azman tiba-tiba hilang penglihatan dan terpaksa mengambil cuti sakit serta menambahkan lagi penderitaan keluarga berkenaan.

Sementara itu, Mohd Zaim yang juga Ketua UMNO Bahagian Parit berkata, pihaknya turut bersimpati dengan nasib yang menimpa keluarga itu dan meminta pasangan Azman dan Norhayama bersabar serta menerima ketentuan Ilahi dengan redha.

Bagi meringankan beban keluarga itu, Umno Parit tegasnya, mengesyorkan bayi itu itu dirujuk kepada Pusat Pakar Ipoh (ISC) dengan segala kos rawatan ditanggung bersama oleh Dun Belanja dan Dun Bota.

“Kita bersimpati dengan nasib yang menimpa bayi kecil ini dan saya dimaklumkan pembedahan hanya boleh dijalankan ketika Iman Syafiq berusia tiga tahun.

“Sementara menunggu tempoh pembedahan, saya syorkan kes ini dirujuk kepada pakar kanak-kanak di ISC agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi menjamin kesihatan bayi,” katanya.

Katanya, segala kos berkaitan rawatan di ISC akan ditanggung oleh Umno Bahagian Parit melalui Ahli Parlimen dan wakil rakyat dari Dun Belanja serta Bota.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pengikut Yg SeTia