Rabu, 15 Februari 2012

TANGAN tersepit mesin!

ANGGOTA bomba dan penyelamat mengeluarkan tangan Jelani yang tersepit pada mesin pencetak di kilang kotak dekat Parit Empat, Api-Api Pontian, semalam.





Pekerja kilang tergelincir ketika masukkan kotak untuk diproses 


PONTIAN: Pergelangan tangan kanan seorang pekerja kilang parah selepas termasuk ke dalam mesin pencetak kotak ketika mangsa sedang bekerja dekat Api-Api di sini, tengah hari kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari di kilang kotak dekat Parit Empat, Api-Api itu, bapa kepada tiga anak, Jelani Abdul Ghani, 53, sedang memasukkan kotak ke dalam mesin berkenaan, sebelum tangan kanannya tiba-tiba terperosok ke dalam mesin terbabit menyebabkan ia tersepit.
Kejadian menimpa mangsa yang meraung kesakitan sejurus tangannya tersepit disedari rakan sekerjanya yang kemudian bergegas membantu mematikan suis. 

Dalam keadaan cemas itu, mereka cuba mengeluarkan tangan kanan mangsa yang tersepit daripada mesin terbabit tetapi tidak berhasil, sebelum menghubungi bantuan pasukan Bomba dan Penyelamat Pontian. 

Sepasukan anggota dari Balai Bomba Pontian yang diketuai Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I A Hamid Awaludin, bersama enam anggota bergegas ke tempat kejadian. 

Hamid berkata, ketika pasukannya sampai di kilang terbabit, mangsa hanya mampu mengerang kesakitan dengan tangan kanannya hingga ke bahagian pergelangan tersepit dalam dalam mesin pencetak kotak. 
Katanya, bagi menyelamatkan mangsa yang mengalami pendarahan itu, pihaknya terpaksa memotong sebahagian komponen mesin terbabit sambil dibantu pasukan perubatan yang memberi suntikan penahan kesakitan bagi meredakan keadaan mangsa. 

“Operasi mengeluarkan tangan mangsa mengambil masa kira-kira 10 minit sebelum mangsa dikejarkan untuk rawatan kecemasan dengan ambulans yang sedang menunggu ke Hospital Pontian, " katanya. 

Mangsa kemudian dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk menjalani pembedahan lanjut. 

Sementara itu, Jelani yang ditemui di Wad HSA, berkata kejadian itu berlaku kerana dia tergelincir ketika bekerja, menyebabkan tangannya terperosok ke dalam mesin. 

“Tangan saya tersepit pada mesin selama kira-kira 30 minit sebelum berjaya dikeluarkan dan terus dihantar ke Hospital Pontian sebelum dibawa ke HSA,” katanya yang menjalani imbasan x petang semalam bagi menentukan kaedah rawatan lanjut yang perlu dijalaninya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pengikut Yg SeTia