Ahad, 4 Mac 2012

Kes kematian akibat demam denggi meningkat

KAJANG: Kes kematian akibat demam denggi kini semakin membimbangkan apabila 15 kes kematian dilaporkan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini berbanding lapan kematian dalam tempoh sama 2011, iaitu peningkatan sebanyak 88 peratus. 

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman, berkata daripada jumlah itu, Selangor mencatatkan kematian paling tinggi dengan lapan kes, diikuti Wilayah Persekutuan (3) dan masing-masing satu kes di Kedah, Perak serta Negeri Sembilan.
Katanya, 15 kes kematian itu dicatatkan daripada keseluruhan 4,453 jumlah kes denggi yang dilaporkan sepanjang Januari hingga 1 Mac lalu, meningkat 14 peratus berbanding 3,915 dalam tempoh masa sama tahun lalu.
“Daripada jumlah itu, Selangor mencatatkan kes paling tinggi dengan 2,012, diikuti Wilayah Persekutuan sebanyak 450 dan Perak (328),” katanya kepada media selepas merasmikan majlis pelantikan Pasukan Skuad Denggi Penyelamat Nyawa Sekolah Menengah Vokasional Kajang, sesi 2012/2013, di sini semalam. 

Dr Hasan berkata, bagi mengurangkan kes denggi, masyarakat digesa melakukan aktiviti bergotong-royong mencari dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk Aedes di persekitaran mereka, dengan meluangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit setiap minggu melalui kempen yang dijalankan. 

Pada masa sama, katanya, program pencegahan di sekolah adalah penting bagi mengurangkan kes demam denggi berikutan melalui pemantauan yang dibuat ke atas 12,224 institusi itu sepanjang tahun lalu, sebanyak 1,061 kes atau sembilan peratus yang diperiksa mempunyai pembiakan Aedes. 

Malah, beliau berkata, berdasarkan analisis kementerian, sebanyak 21 peratus atau 935 kes daripada kes demam denggi dilaporkan tahun ini membabitkan pelajar dengan tiga daripadanya maut. 
“Justeru, kementerian menggalakkan pembabitan sekolah dalam aktiviti pencegahan denggi melalui Program Bebas Denggi, yang mana sehingga tahun lalu sebanyak 3,863 sekolah sudah mengikutinya. 

“Kes demam denggi dan kematian tahun ini adalah tidak baik, lebih-lebih lagi sekarang adalah musim hujan. Kita juga meminta sesiapa yang demam panas secara mengejut dan mempunyai tanda demam denggi supaya segera pergi ke klinik bagi mendapatkan rawatan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pengikut Yg SeTia