Ahad, 29 April 2012

Secara Rasionalnya – Bersih 3.0 Gagal




KUALA LUMPUR – Anggaran yang diletakkan sekretariat Bersih 3.0 sebelum ini ialah 500,000 orang akan tampil untuk menyertai demonstrasi berkenaan.
Namun, pihak pembangkang sendiri hari ini hanya mampu menyebut 35,000 orang sahaja. Dengan meluahkan harapan lebih ramai akan tampil pada saat-saat terakhir.
Kemudian timbul pula angka 75,000 dan beratus-ribu. Kalau beratus ribu sudah pasti Datarn Merdeka dapat ditakluk.
Mengikut sumber polis, hampir 25,000 sahaja peserta demonstrasi yang memenuhi sekitar kawasan Dataran Merdeka.
Ambil angka yang mana sekali pun, baik 35,000 mahupun 15,000 atau 75,000, maka semuanya mencerminkan kegagalan Bersih 3.0.
Menurut wartawan kami di lokasi, sehingga pukul 2 tadi, kawasan-kawasan sekitar Masjid India berhampiran Dataran Merdeka tidak ‘semeriah’ perhimpunan sebelum ini.
Kawasan di hadapan bangunan Dewan Bandara Kuala Lumpur (DBKL) pun hanya dipenuhi sekitar 2,500 peserta sahaja.
“Kalau cecah jumlah 500,000 orang, sudah tentu kawasan-kawasan ini semua penuh dengan peserta,” katanya.
Mungkin disebabkan jumlah yang datang tidak seperti yang dijangka, maka Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memulakan langkah untuk merempuh Dataran Merdeka bagi menarik perhatian semua pihak ke arah Bersih 3.0.
Itu memang kepakaran Anwar Ibrahim. Dengan adanya aksi gas pemedih mata dan meriam air, ia umpama memberikan slot debaran dan penuh aksi kepada Bersih 3.0. Slot seperti ini boleh menghangatkan suasana dan perhatian anggota masyarakat.
Jika tiada rempuhan ke Dataran Merdeka siang tadi, apakah Bersih 3.0 akan mendapat lebih banyak perhatian daripada sekarang? Pastinya tidak, menyedari hakikat itu, Anwar mula membakar sentimen peserta sebaik menjejakan kaki ke kawasan berhampiran dataran itu.
Anwar berjaya mewujudkan senario rakyat (sedangkan semuanya hanyalah penyokong pembangkang) telah bangun membantah kezaliman kerajaan.
Namun apakah dengan melakukan tindakan provokasi seperti itu maka ia mampu menzahirkan Bersih 3.0 telah berjaya?
Ya, mungkin berjaya...tetapi dalam konteks menimbulkan huru-hara dan kontroversi semata-mata. Objektif asal yang kononnya berkaitan dengan reformasi sistem pilihan raya di negara ini entah ke mana.
Mereka tentu gembira bila pihak polis terpaksa melepaskan tembakan, membuat tangkapan dan kalau boleh mahu ada yang mengalami kecelekaan agar cerita mengenainya tersebar di seluruh dunia.
Malang sekali, PDRM bukanlah badan yang boleh diperkotak-katikkan dengan begitu mudah.
Mereka telah dilatih untuk menangani permasalahan ini, bukannya seperti peserta perhimpunan yang muncul sekali-sekala itu. Kali ini nyata pasukan polis tidak melatah sama sekali. Mereka lebih cool dan lebih bijak.
Tinjauan wartawan kami di lokasi secara jelas menunjukkan di antara kesan-kesan buruk demonstrasi haram Bersih 3.0 ialah mengganggu keamanan dan ketenteraman masyarakat, merosakkan iklim perdagangan dan perniagaan khususnya tempat berlakunya perhimpunan, menjatuhkan imej negara, menjejaskan industri pelancongan, menjejaskan kredibiliti sesebuah pemerintahan sehingga mengakibatkan kestabilan politik terganggu, pergaduhan, kerosakan harta benda, kesesakan lalu-lintas dan pelbagai perkara buruk lagi.
Soalnya, sanggupkah penganjur perhimpunan itu membayar pampasan dan kerugian kepada golongan peniaga ini?
Atau, adakah pihak penganjur akan sekali lagi bersikap lepas tangan dan menyalahkan pihak berkuasa sekiranya berlaku rusuhan dan kerosakan harta benda awam akibat kedegilan dan kerakusan kumpulan berkenaan.
Jangan lupa fakta ini, Malaysia memerlukan lebih 6 bulan untuk pulih sepenuhnya akibat demonstrasi haram Bersih sebelum ini.
Melalui pengamatan kami, perhimpunan seumpama ini telah mengundang terlalu banyak impak buruk kepada negara apabila demonstrasi dijalankan di jalanan.
Pihak yang berkepentingan tentunya tidak meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan dalam hal ini.
Sama ada suka atau tidak, kita terpaksa akui – Bersih 3.0 gagal sama sekali.]






Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pengikut Yg SeTia