Selasa, 17 April 2012

SPR sahkan daftar pemilih bersih, tak bertindih

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam menegaskan daftar pemilih adalah bersih tanpa wujud sebarang pertindihan nama mereka yang meninggal dunia atau warga asing. 

Sehubungan itu, Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Yusof meminta mana-mana pihak supaya tidak terus memperbesarkan isu kononnya daftar pemilih itu 'kotor' demi kepentingan politik mereka.
Katanya, berdasarkan senarai daftar pemilih berjumlah 12.6 juta yang dihantar kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sehingga 25 Januari lalu, hanya 41,750 pengundi atau 0.3 peratus daripada jumlah pengundi dikategorikan sebagai pengundi meragukan iaitu sama ada mereka wujud atau sebaliknya.


“Adakah dengan hanya 0.3 peratus yang meragukan ini, maka daftar pemilih boleh ditafsirkan sebagai kotor? Jumlah itu juga sudah berkurangan kerana didapati 481 orang masih hidup dan 301 dilaporkan meninggal dunia. 

“Kita cuba supaya ia terus dibersihkan, tapi kuasa kita juga terhad kerana SPR tidak boleh sesuka hati membuang nama itu daripada senarai daftar pemilih tanpa bukti individu itu sudah meninggal dunia, gugur taraf warga negara, pengesahan tidak siuman atau masuk penjara,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan semua Ahli Parlimen di bangunan Parlimen, semalam. 

Abdul Aziz berkata, pada pertemuan hampir tiga jam yang diadakan buat pertama kali itu, SPR menjelaskan semua isu yang dibangkitkan Ahli Parlimen termasuk pertukaran pusat mengundi, pertindihan nama pengundi dalam satu alamat dan isu berkaitan pembersihan daftar pemilih. 

“Tidak berlaku sebarang perubahan sempadan DUN (Dewan Undangan Negeri), Parlimen dan negeri. 
“Apa yang berlaku adalah pembetulan penempatan lokaliti pemilih berkenaan berdasarkan semakan melalui Sistem Maklumat Geografi. 

“Jumlah pemilih mendaftar pada satu alamat juga tidak berlaku kerana sebenarnya, mereka (pengundi) duduk dalam satu lokaliti, mungkin sebuah rumah pangsa, taman perumahan atau kampung yang mempunyai ramai pengundi," katanya sambil menambah, semua Ahli Parlimen berpuas hati dengan penjelasan berkenaan. 

Mengenai 22 syor yang dicadangkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya, Abdul Aziz berkata, pihaknya akan membincangkan perkara itu esok dan akan mengeluarkan kenyataan media mengenainya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pengikut Yg SeTia